kerjaya
 
      Kerjaya saya bermula sewaktu saya menamatkan zaman persekolahan dan mula melangkahkan kaki ke alam pekerjaan iaitu suatu alam yang dianggap terlalu misteri.

      Pada peringkat permulaan, saya memohon pekerjaan di salah sebuah kilang membuat wayar di Taman Cempaka, Johor Bahru. Bermulalah warkah di dalam diari hidup saya sebagai seorang minah kilang, suatu jolokan yang amat dibenci oleh remaja seusia saya pada ketika itu.

      Setelah bekerja selama hampir dua tahun, tiba-tiba pada suatu petang selepas balik dari kerja, ayah saya memberitahu saya mengenai surat tawaran memasuki maktab. Pada mulanya, saya agak terkejut kerana saya tidak memohon masuk ke maktab namun begitu rupa-rupanya ayah dan sepupu saya yang telah mengambil borang, mengisi serta menghantarkannya. Hai...nampak gaya jadi cikgu le saya walaupun cita-cita saya sebenarnya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi! Mungkin ada hikmah di sebalik tawaran tersebut, tambahan pula desakan keluarga yang menuntut saya membantu menyara kewangan keluarga, lalu saya pun menerima tawaran itu.

      Setelah dua tahun setengah menjadi pelatih di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, saya pun dihantar bertugas di Sekolah Kebangsaan Kempas, Johor Bahru iaitu tanah kelahiran saya sendiri. Itupun hasil usaha dari ayah saya dan seorang rakan yang berusaha menarik saya balik ke Johor Bahru.

      Pada tahun pertama saya mengajar, saya pun mendaftar untuk belajar di kelas malam. Namun begitu hanya pada tahun 1997, barulah saya mendapat sijil penuh STPM. Kini, saya sedang menunggu peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di dalam bidang yang saya minati iaitu Teknologi Maklumat, Kesusasteraan Melayu, Sejarah ataupun Geografi. Insya'Allah.
 
 
 
 
 
KEMBALI